Bermula daripada 1 Jan, cuti hujung minggu Johor telah ditukar daripada Ahad ke Jumaat, tetapi kini beberapa pihak menyatakan kerajaan negeri sedang mengkaji untuk menukarkan cuti hujung minggu itu kembali kepada hari Ahad.

Langkah kerajaan negeri menukar kembali cuti hujung minggu negeri itu kepada Ahad daripada Jumaat kini sedang heboh diperkatakan oleh kalangan kakitangan awam di Johor.

Menurut mereka, kerajaan negeri Johor dijangka akan menukar kembali cuti hujung minggu kepada Ahad sebagaimana yang diamalkan sebelum ini, bermula 1 Jan tahun depan.

"Saya dimaklumkan kerajaan negeri sedang mengkaji semula untuk menukar kembali cuti hujung minggu kepada hari Ahad pada tahun depan, selepas setahun cuti hujung minggu pada hari Jumaat."

"Isu penukaran kembali cuti hujung minggu kepada hari Ahad sedang hangat diperkatakan dikalangan kakitangan awam di Johor," kata seorang kakitangan awam negeri kepada MalaysiaGazette hari ini.

Seorang lagi kakitangan agensi kerajaan negeri yang dikenali pula memberitahu, penukaran semula cuti hujung minggu kepada hari Ahad itu adalah kerana kesukaran menjalankan urusan perniagaan.

Ini kerana katanya, bank-bank dan syarikat kewangan di Johor tidak bercuti pada Jumaat dan mengekalkan Ahad sebagai hari cuti mingguan mereka.

Dengan Jumaat diisytiharkan sebagai cuti hujung minggu bagi Johor bagi kakitangan awam dan Ahad bagi pihak swasta, hanya ada empat hari untuk menjalankan urusan di bank-bank.

Keadaan itu telah menimbulkan kesukaran kepada golongan perniagaan yang terpaksa berurusan dengan kedua-dua pihak iaitu bank dan pejabat -pejabat kerajaan.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan Iskandar Malaysia menerima kesan daripada perubahan cuti hujung minggu itu dengan urusan membabitkan pelaburan asing terutamanya daripada Singapura mengambil masa yang lebih panjang daripada biasa.

Sultan Johor pada Dis tahun lepas menitahkan cuti hujung minggu bagi negeri itu ditukar kepada Jumaat mulai 1 Jan tahun ini bagi memudahkan umat Islam menunaikan solat Jumaat dengan lebih selesa. -MalaysiaGazette

0 comments:

Post a Comment