Abang kepada gadis yang maut dalam konsert tampil luah isi hati
Beberapa hari lalu kita digemparkan dengan kematian beberapa remaja dalam konsert ‘Future Music Festival Asia’ di Stadium Bukit Jalil. Melalui laporan berita, Enam maut termasuk tiga gadis, disyaki akibat mengambil dadah berlebihan sehingga mengalami sesak nafas.
Tidak cukup dengan itu, gambar-gambar mangsa turut disebarkan dalam blog-blog dan media sosial. Namun, abang kepada salah seorang gadis yang meninggal dunia tampil meluahkan isi hatinya mengenai kejadian itu di dalam Akaun Facebook adiknya sendiri, Sabreena Kamarudin. Baca luahan hati beliau:
Assalamualaikum,
Pada 15 Mac 2014, adik saya Sabreena binti Kamarudin telah kembali ke rahmatullah. Saya tidak menafikan apa yang dikatakan oleh media massa tentang apa yang berlaku, di mana adik saya terlibat dengan satu konsert dan telah meninggal dunia.
Arwahyarhamah merupakan seorang yang sangat baik hati, disayangi serta disenangi oleh ahli keluarga dan juga kawan-kawannya. Ramai pihak yang tidak mempercayai apa yang telah berlaku, terutamanya para guru dan sahabat handai kerana perwatakannya yang lemah lembut dan baik budi pekerti sejak dari kecil lagi. Saya sebagai abang turut terkejut dengan berita ini, dan sehingga ke saat ini masih tidak dapat menerima hakikat bahawa adik saya telah kembali kepadaNya dalam keadaan begini.
Saya masih terlibat dalam proses menyiasat dan mencari informasi tentang apa yang telah berlaku, dan saya tidak akan berhenti sehingga nama adik saya bersih seperti sediakala. Saya juga meminta kepada semua pihak agar tidak membuat spekulasi, menambah-nambah cerita, menghina atau mencaci arwahyarhamah atau keluarga. Hormatilah yang telah pergi, dan hormatilah ahli keluarga saya yang masih dalam keadaan trauma. Mereka cuma insan biasa, mereka memerlukan sokongan anda untuk menghadapi ujian dariNya.
Saya ingin meminta pertolongan anda semua agar memadam gambar-gambar arwahyarhamah yang tidak menutup aurat. Selain itu, saya serendah-rendah diri memohon jasa baik sesiapa yang membaca post ini, sama ada anda mengenali arwahyarhamah atau tidak, untuk sama-sama terus mendoakan Sabreena agar ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan solehah. Sedekahkan Al-Fatihah untuknya agar beliau mendapat ketenangan di sana.
Ingatlah adikku dalam doamu. - Amirul Aftar.
0 comments:
Post a Comment