INFO : Satelit China dilapor kesan objek dipercayai MH370
KUALA LUMPUR: Satelit milik Republik Rakyat China dilapor berjaya merakamkan objek serpihan yang dipercayai bahagian pesawat MH370 milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
Tiga objek itu dikesan di perairan selatan Vietnam, tempat laluan asal pernerbangan tersebut, lapor agensi berita Xinhua, China, semalam.
Penemuan itu dijangka dapat membantu pencarian pesawat yang hilang bersama 239 penumpang sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing awal pagi Sabtu lepas.
Sehingga kini, pencarian pesawat hilang itu meliputi kawasan 35,800 batu persegi (92,600 km persegi), di bahagian timur dan barat Semenanjung Malaysia dan diperluaskan sehingga ke perairan India.
Imej yang dipaparkan satelit China itu jika disahkan, adalah berhampiran dengan titik koordinat pesawat itu dilaporkan hilang.
Xinhua melaporkan, imej yang dirakam sekitar jam 11 pagi waktu tempatan, Ahad lalu menunjukkan "tiga objek terapung" berlainan saiz. Saiz objek paling besar berukuran 24 x 22 meter (79 x 72 kaki).
Imej satelit turut mengandungi koordinat lokasi bahagian selatan Vietnam dan Timur Semenanjung Malaysia. Imej ini pada asalnya disiarkan laman web teknologi pertahanan nasional China.
Dalam perkembangan berkaitan, Daily Mirror melaporkan Ketua Jabatan Penerbangan Awam China berkata, tiada bukti menunjukkan imej terapung di Laut China Selatan yang dirakam satelit itu mempunyai kaitan dengan pesawat Malaysia yang hilang.
"Satelit China telah merakam kepulan asap dan objek terapung... Buat masa sekarang kami tidak dapat mengesahkan hubungannya dengan pesawat yang hilang itu," Li Jiaxiang memberitahu pemberita di luar sidang parlimen.
Agensi berita CNN turut melaporkan perkembangan yang sama.
0 comments:
Post a Comment