Kenapa Berlaku Dikriminasi Majikan Swasta Terhadap Bangsa Melayu
Dalam sektor swasta, peluang pekerja Bumiputera tidaklah sebaik pekerja keturunan Cina atau India. Malah ada diskriminasi secara halus terhadap Bumiputera.
Baru-baru ini, dua orang penyelidik – Dr Lee Hwok Aun dari Universiti Malaya dan Dr Muhammed Abdul Khalid dari Universiti Kebangsaan Malaysia keluarkan hasil kajian bersama mereka berkenaan diskriminasi kaum dalam guna tenaga sektor swasta.
Portal berita Malaysian Insider, petik laporan mereka sebagai berkata, majikan swasta bagi lebih banyak keutamaan kepada pemohon Cina berbanding rakan Melayu mereka.
Ini, kata Malaysian Insider, membuktikan yang diskriminasi kaum adalah kekunci kepada proses pengambilan pekerja oleh sektor swasta.
Kata laporan itu lagi, kemungkinan graduan Cina dipanggil temu duga berdasarkan resume yang mereka hantar adalah lebih tinggi daripada graduan Melayu.
Kajian mereka dapati, majikan lebih cenderung kepada pemohon Cina, khasnya kerana faktor kesesuaian dan ciri-ciri tersembunyi yang tidak disebutkan dalam syarat permohonan jawatan. Majikan swasta, yang majoritinya bukan Bumiputera, lebih memilih apabila mengambil pekerja Melayu.
Diskriminasi pemohon Melayu
Akibatnya, tidak banyak pemohon Melayu yang dipanggil temu duga, apatah lagi diambil bekerja, walaupun kelulusan dan pengalaman kerja mereka serupa dengan pemohon Cina.
Penyelidik Melayu-Cina itu dapati, di mana pemohon Cina dan Melayu mendakwa mereka fasih bahasa Cina dan lulus daripada universiti yang dikawal oleh orang Cina atau oleh orang asing, pemohon Cina masih dibagi keutamaan.
Banyak lagi hasil yang berguna daripada penyelidikan Melayu-Cina itu. Tapi malangnya Kunta Kinte tak nampak pula dilaporkan dengan meluas walaupun mereka dah buat seminar khas hebahkan hasil kajian mereka.
Dedah hipokrasi politik, ekonomi
Oleh sebab itu, Kunta Kinte merayu kepada media massa, parti-parti politik dan penggiat masyarakat, tak kira Melayu, Cina atau India, kerajaan atau pembangkang, bagilah perhatian kepada hasil kajian macam ini.
Kalau betullah kita komited kepada 1Malaysia, satu negara dan satu hala, Kunta Kinte rasa kita wajib dedah dan pecahkan hipokrasi politik dan ekonomi ini. Itu jugalah pesanan Kunta Kinte kepada seorang menteri kanan Melayu baru-baru ini.
Kalau kita tak dedah dan pecahkan hipokrasi yang berkaitan bangsa, bahasa, politik dan ekonomi, selama itulah kita akan hidup dalam khayalan dan tertipu oleh hujah-hujah yang memesongkan. Wallahualam
0 comments:
Post a Comment