BESUT - "Dulu saya sering lewat masak, anak-anak balik sekolah kelaparan.. suami hampir melafazkan talak kerana tidak tahan dengan sikap buruk saya suka sangat main game."

Demikian cerita seorang suri rumah yang hanya mahu dikenal sebagai Zanahariah, 37.

Kata Zanahariah, pada mulanya dia hanya bermain game untuk menghilangkan rasa bosan selepas selesai melakukan kerja rumah.

"Saya mula bermain game apabila melihat salah seorang anak saya berbuat demikian dengan iPhone.

“Kemudahan permainan video ini boleh dicapai secara dalam talian menerusi iPhone memaksa pemain bermain secara berterusan untuk elak kalah atau membuat pembelian aplikasi tambahan,” katanya.

Zanahariah berkata, anak sulungnya yang berusia 15 tahun banyak membantu dia memuat naik permainan baharu menerusi telefon pintar.

Namun katanya, lama kelamaan masa untuk dia bermain game makin bertambah dan bagaikan penagih yang tidak mahu berenggang dengan gajet.

"Saya boleh menghabiskan masa tiga hingga empat jam dengan bermain game setiap hari," katanya.

Sejak itu, rumah tangganya mula tidak terurus, dia sering lewat memasak untuk keluarga, tanggungjawabnya pada suami dan tiga anaknya turut diabaikan.

Katanya, anak-anak yang pulang dari sekolah sering merungut kelaparan kerana tidak ada lagi makanan terhidang di atas meja, begitu juga apabila suami pulang dari kerja kerana masanya banyak dihabiskan bermain game.

“Tabiat buruk ini menyebabkan saya dan suami sering bergaduh dan kami hampir bercerai,” katanya.

Zanahariah berkata, dia sering menyalahkan suami yang jarang membawanya dan anak bersiar-siar menyebabkan dia ketagih bermain game.

Dia akan menghabiskan masa dari petang hingga ke malam untuk bermain game sehinggakan dia juga jarang keluar rumah.

Namun mungkin jodoh masih panjang dengan campur tangan keluarga akhirnya masalah mereka dapat diselesaikan.

Kini Zanahariah mengakui sudah kurang berminat bermain game dan hanya melayari internet pada masa tertentu sahaja.

Dia tidak mahu lagi melakukan kesilapan sama sehingga rumah tangga dan masa depan anaknya menjadi taruhan.

0 comments:

Post a Comment