INILAH gaun yang menyebabkan Uqasha dituduh tidak memakai coli.

PELAKON cantik, Uqasha Senrose sebelum ini hangat dengan kontroversi cintanya bersama pelakon Pekin. Reda daripada kontroversi cinta, namanya tiba-tiba menjadi sebutan baru-baru ini di laman sosial gara-gara sekeping gambar.

Dalam gambar yang diambil ketika dia menghadiri majlis pelancaran wajah baharu portal hiburan, mStar Online di Kuala Lumpur itu, Uqasha yang hadir bersama adiknya, pelakon Nelydia Senrose tampil anggun dengan gaun pendek paras lutut berwarna merah jambu.Bagaimanapun, gaun tersebut menimbul kontroversi apabila dia dilihat seolah-olah tidak memakai coli. Perkara ini sudah menjadi hangat di internet, bahkan ada yang menuduhnya mengikut fesyen artis Hollywood.

Namun, jika gambar itu diteliti bukanlah Uqasha tidak memakai coli, sebaliknya bekas jahitan yang kelihatan. Sungguhpun begitu, Uqasha tetap menanggung malu apabila gambarnya itu disebarkan di internet dengan judul, ‘Uqasha lupa memakai coli’.

Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya.

Kosmo!: Adakah Uqasha sedar dituduh tidak memakai coli apabila hadir pada satu majlis baru-baru ini?
UQASHA: Sebenarnya saya langsung tidak sedar sehinggalah saya pulang ke rumah selepas majlis tersebut. Apabila saya melihat Twitter, saya sungguh terkejut apabila terdapat cerita yang mendakwa saya tidak memakai coli.

Apakah benar anda tidak memakai coli seperti yang didakwa?

Saya hanya mampu ketawa apabila dituduh sebegitu. Saya bukan bodoh untuk keluar tanpa memakai coli dan memalukan diri sendiri. Mereka harus lihat gambar itu betul-betul sebelum membuat cerita yang mengaibkan saya.

Jadi, apakah yang berlaku sebenarnya?

Sebelum keluar rumah saya sudah lihat pada cermin beberapa kali dan tanya pada adik saya, okey atau tidak baju yang saya pakai. Memang saya tidak perasaan langsung bekas jahitan akan kelihatan sedemikian rupa. Mungkin baju itu tersalah jahit dan memperlihatkan seolah-olah saya tidak memakai coli.

Komen anda apabila orang ramai mengutuk anda dengan dakwaan mengikut fesyen artis Hollywood?
Saya yang malu untuk mengulas isu ini walaupun saya tidak salah. Otak saya masih waras dan tahu adat budaya Malaysia. Bagi saya, orang yang membuat cerita ini sudah tidak ada cerita untuk ditulis. Alangkah lebih baik jika mereka tanya sendiri hal itu kepada saya. Saya tidak kisah andai perkara yang ditegur itu benar berlaku tetapi tidak, mereka hanya mengada-adakan cerita yang tidak benar.

Apakah anda malu dengan kontroversi ini?

Ya, memang sangat malu. Sebabnya bukannya ada apa-apa, cuma bekas jahitan baju itu yang kelihatan. Saya harap selepas ini janganlah cepat membuat kesimpulan sebelum bertanya sendiri hal yang sebenar kepada saya.

Pengajaran yang anda peroleh selepas kejadian ini?

Ada hikmah sebalik apa yang berlaku. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati kerana orang ramai memerhati dari hujung rambut hingga ke hujung kaki apa yang saya pakai.

Namun, siapa saya untuk ubah fikiran orang, mereka tetap akan bercakap tanpa henti jika ada yang tidak kena pada mata mereka.

Adakah anda gemarkan pakaian yang seksi dan berjenama?

Saya tidak kisah tentang jenama kerana pakaian bundle pun saya pakai asalkan ringkas dan selesa. Kalau ikutkan saya bukanlah jenis yang suka berhias sangat. Baju pula saya suka yang ringkas dan tidak seksi melampau. Sejak kebelakangan ini saya lebih suka berpakaian agak sopan tetapi cantik dipandang.
Bagaimanakah dengan perkembangan kerjaya anda?

Buat masa sekarang saya sedang sibuk dengan penggambaran drama Kalau Itu Jodoh Kita untuk siaran TV AlHijrah. Walaupun tidak berapa sihat kerana kepenatan disebabkan jadual kerja yang padat, saya tetap bersyukur dengan rezeki yang diberi. Minggu ini bermula Isnin, saya akan berada di Gold Coast, Australia hingga hujung April bagi penggambaran drama dan juga sebuah telefilem untuk hari raya.

0 comments:

Post a Comment